BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM
Alhamdulillah. Di saat ini, ketika ini, saya masih lagi bernafas atas bumi Allah yang maha luas ni. Rasa bersyukur kiranya Allah masih sudi limpahkan nikmatnya buat saya, buat kita. Alhamdulillah
Hari ni 11 Mac. Setahun selepas rentetan tsunami kat Jepun. Ye kan? Dan kiraan setahun juga saya terselamat dari bencana itu.
Kenapa kau cakap macam tu?
Setahun yang lalu, saya berada di bumi sakura itu. Saya menjenguk kakak yang sedang berpantang, sejak penghujung Januari itu. Seharusnya awal Mac lagi saya dah pulang ke Malaysia. Tapi, kakak pujuk untuk temankannya untuk beberapa hari lagi, dan saya melanjutkan penerbangan saya hingga tarikh 13 Mac 2011.
Saya banyak kenal dengan sikap komuniti Jepun, biarpun hanya bermukim sementara. Apa yang saya dapat, biarlah saya simpan dahulu. Tak sesuai rasanya membincangkannya di sini. :)
Hari itu, Jumaat. Saya menjalankan rutin biasa saya di rumah kakak. Tapi hari itu terasa berbeza, tapi saya pendamkan cuma. Angin musim bunga menyapa lembut (chewah~) dan hari itu saya rasa mengantuk yang teramat. Tengahari selepas zohor dan makan, saya terus terlelap di ruang tamu. Sepatutnya saya ke kedai membeli barang yang akak pesan, tapi saya tertidur pulak. -hampeh-
Okay. Bangun-bangun tu je baru teringat balik akak suruh beli barang. Nak buat kek katanya. Saya pun bersiap-siap, tapi saya tengok TV terpasang dan akak dengan wajah serius tengah online. Akak tak pernah pulak bukak TV kecuali waktu malam. Akak suruh bukakkan channel ni, dan apa yang saya nampak sangat menggemparkan.
Di setiap channel penuh dengan berita tsunami menyerang Jepun sejak beberapa jam lalu, kalau dikira ikut masa, bermula saat saya tidur tu. Di BBC News dalam laman maya dah heboh, dan berita ni dah sampai ke seluruh dunia. Ngeri melihatkan rakaman amatur tu, dan rasa takut mula selubungi diri. Tapi saya dah janji dengan kakak, yang saya akan pergi ke kedai. Maka dengan langkah berat, dada berombak dan sarat dengan gelisah, saya melangkah jua.
Sepanjang perjalanan, hati saya tak putus-putus berdoa agar kakak kat rumah selamat. Saya bergegas ke kedai, in case ada apa-apa berlaku, saya dah ada kat rumah. Saya panik! Tak pernah berhadapan situasi macam tu. Saya pandang kiri kanan kalau-kalau tiba-tiba ombak besar melanda Fukuoka. Dalam hati dah pasrah, apa jua berlaku, semua kehendak Allah. Akhirnya, Allah jaga saya hingga saya pulang ke rumah kakak.
Balik tu saya risau. Macam-macam berlegar di fikiran. Nak telefon keluarga kat Malaysia, tak dapat line. Saya jadi hiba. Allah uji dengan hebat sekali. Allah sendiri kata, dengan mudah Dia boleh menitipkan rasa takut akan azabNya bila-bila masa. And that's exactly how i felt.
Satu saya terfikir, saya perlukan doa. Dalam hati, penuh rasa malu dan pengharapan saya berdoa, agar kakak dan anaknya selamat. Agar keluarga di tanahair selamat. Agar penduduk Jepun jua selamat. Tapi doa sekadar usaha. Kuasa Allah tiada tandingnya.
Saya sempat online memberitahu keadaan di Jepun kepada kawan-kawan menerusi facebook. Nah, kuasa Allah. Kemanusiaan itu masih wujud. Doa dari perantauan tak putus-putus. Alhamdulillah ya Allah.
Sepanjang petang tu, saya tak keruan. Hanya duduk tepi dinding merenung berita di kaca TV. Melihat pada data, Fukuoka masih dalam kawasan selamat. Dan saya menangis mengenangkan yang Allah masih jaga saya. Saya yang penuh dosa ini. Tapi saat itu saya bersyukur, kerana tanpa kakak yang terus-menerus tenang menghadapi situasi getir itu, saya mungkin dah lakukan perkara bodoh.
Dalam tempoh genting tu, banyak yang saya belajar. Banyak yang saya sedar. Banyak yang saya insafi. Benarlah kata Allah,
Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan "Kami telah beriman" dan mereka tidak diuji?
[Al-Ankabut, 29:2]
Manisnya ujian Allah. Kalaulah saya tiada, menghadapi situasi itu, merasakan maut itu dekat, mungkin saya tidak menjadi siapa saya sekarang. Mungkin saya terus hanyut dibuai dunia penuh pujuk rayu ini.
Sudah setahun, tapi kenangan itu masih basah membugar. Terima kasih Allah atas ujian ini.
maka apakah kamu tidak mengambil iktibar?
Comments